Saturday 22 October 2011

Peribahasa Melayu


Peribahasa
Peribahasa ialah ayat atau kumpulan kata yang tetap susunannya dan mempunyai maksud yang tertentu. Peribahasa dalam bahasa Malaysia terdiri daripada beberapa jenis, iaitu:
§      Simpulan Bahasa
§      Perumpamaan
§      Bidalan
§      Pepatah
§      Kata-kata hikmat

Pada umumnya, peribahasa mengandungi falsafah hidup dan nilai moral yang tinggi. Oleh itu, peribahasa dapat digunakan sebagai pedoman hidup yang berhikmat besar.Peribahasa juga sering digunakan orang sebagai kiasan, teladan dan pengajaran untuk menghiasi karangan dan percakapan.

SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa ialah kelompok perkataan yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi maksud yang berlainan daripada makna perkataan yang membentuknya. Simpulan bahasa merupakan bentuk peribahasa yang paling ringkas dan biasanya terdiri daripada dua patah perkataan.
Ada angin – berperangai tidak seperti biasa pada suatu ketika.
Ada hati – ada kemahuan untuk membuat sesuatu.
Air muka – Rupa; wajah
Ambil angin – keluar bersiar-siar untuk menghilangkan penat.
Ambil hati- menyukakan hati seseorang.
Anak angkat – anak orang lain yang dipelihara sebagai anak sendiri.
Anak buah – Orang yang di bawah jagaan seorang ketua.
Angkat kaki – lari meninggalka sesuatu tempat.
Atas angin- Negara-negara di sebelah barat seperti Eropah dan Amerika Syarikat.
Atas pagar – tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Banyak lemak – terlalu dimanjakan
Banyak mulut- Orang yang suka bercakap banyak.
Batu api – orang yang menghasut; Penghasut.
Batu loncatan – Sesuatu yang dijadikan asas atau alat untuk mencapai sesuatu tujuan.
Bau-bau bacang – Hubungan persaudaraan yang jauh
Bawah angin – Negara-negara di sebelah timur seperti Asia.
Bekas tangan – Hasil kerja tangan seseorang.
Berat mulut – Pendiam; Tidak suka bercakap.
Berat tangan – Malas bekerja.
Beri muka – Membiarkan seseorang bebas membuat sesuatu dengan sesuka hatinya.
Besar kepala – Sombong, degil.
Bintang terang – Berasib baik.
Buah hati – Orang yang dikasihi.
Buah mulut – Perkara yang menjadi tajuk perbualan ramai.
Buah tangan – Hadiah yang dibawa ketika melawat.
Bulat hati – Dengan bersunguh-sungguh; sudah nekad.
Bunga dedap – Perempuan yang wajahnya cantik tetapi tidak berbudi.
Buruk siku – Mengambil balik apa-apa yang telah diberikan kepada orang lain.


Cahaya Mata – Anak
Cakap angin – Percakapan yang tidak berfaedah; omong kosong.
Cakar ayam – Tulisan yang buruk.
Cangkul angin – Membuat kerja yang tidak berfaedah.
Cari Jalan – Berikhtiar atau berusaha untuk melakukan sesuatu.
Cepat Tangan – Suka mencuri.
Curi Tulang – Mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu pekerjaan dengan tipu helah.

Dalam tangan – Sudah pasti dapat.
Darah daging – Kaum kerabat; sudah sebati.
Durian runtuh – Keuntungan yang tidak disangka-sangka.

Gaji Buta – Mendapat gaji tanpa bekerja.
Gelap Mata – Lupa akan diri kerana terpengaruh oleh wang.
Gila Bahasa – Kurang waras fikirannya.
Golok kayu – Orang yang bodoh tetapi berlagak seperti orang pandai.

Harga mati – Harga tetap; harga yang tidak dapat ditawar-tawarkan lagi.
Hati  Batu – Degil; tidak mempunyai belas kasihan.
Hidung belang – Lelaki yang suka mengganggu atau menggida perempuan.
Hidung Tinggi – Sombong.

Ikat perut – Menahan lapar kerana berjimat.
Isi Hati – Perasaan dalam hati.

Jauh  Hati – Merajuk kerana tersinggung oleh perbuatan atau percakapan orang lain.
Jinak-jinak merpati – Perempuan yang peramah dan mudah bergaul mesra tetapi sukar 
                                   dipikat.

Kacang Hantu – Orang yang jahat dan suka mengganggu orang lain.
Kaki ayam – kaki yang tidak berkasut.
Kaki bangku – Orang yang tidak tahu bermain bola.
Kaki Botol – Orang yang suka meminum minuman keras.
Kecil Hati – Merajuk; tersinggung
Kepala Angin – Tidak tetap pendiriannya.
Kepala Batu – Degil; Tidak mahu mengikut nasihat.
Kera sumbang – Orang yang tidak suka bercampur gaul dengan orang lain.
Khabar angin – Berita yang belum tentu benarnya.
Kucing Bertanduk – Perkara yang mustahil berlaku.
Kucing Kurap – Orang yang dipandang hina
Kutu Embun – Orang yang suka merayau-rayau sehingga larut malam.


Langkah kanan – Benasib Baik
Langkah Kiri – Tidak bernasib baik; sial ; malang
Langkah Seribu – Lari dengan cepat kerana ketakutan
Lidah biawak – Percakapan berubah-ubah
Lipas kudung – Cepat menyiapkan atau membuat kerja.

Makan Angin – Pergi bersiar-siar untuk berehat.
Makan Angkat – Suka dipuji.
Makan Hati – Terlalu sangat berduka cita atau menderita.
Makan Suap – Menerima rasuah.
Malu-malu kucing – Berpura-pura malu di hadapan orang.
Mandi Kerbau – Mandi dengan tidak bergosok.
Mandi peluh – Bekerja kuat.
Mati Celik – Mati sebelum hajat tercapai
Mati Katak – Mati dengan sia-sia sahaja
Muka dua – Berbaik-baik dengan kedua-dua pihak yang bermusuhan
Muka Tembok – Tidak tahu malu
Mulut Murai – Orang yang sangat suka bercakap atau berbuat bising.
Mulut Tempayan – Orang yang tidak dapat menyimpan rahsia.


Naik angin – Tidak dapat mengawal diri akibat terlalu marah.
Naik darah – Menjadi marah
Nyawa-nyawa ikan – Hampir-hampir mati


Otak Cair – Pandai; Cerdik
Otak Kering – Lambat atau susah menerima pelajaran yang diajarkan
Otak Udang – Bodoh


Paku Belanda – Harga tetap; Harga yang tidak dapat ditawar-tawarkan lagi.
Panjang Tangan – Suka mencuri
Pasang Telinga – Mendengar dengan teliti atau bersungguh-sungguh.
Patah Hati – Kecewa; Tidak mahu berusaha lagi
Patah Kandar – Hilang tempat bergantung
Pejam Mata – Tidak mengambil tahu tentang sesuatu perkara
Pembasuh mulut – Minuman atau kuih yang dihidangkan selepas makan nasi
Penyapu Baru – Rajin bekerja kerana baru menyandang jawatan itu.
Perang Dingin – Perang secara gertak-menggertak
Perang Mulut – Bertengkar dengan menggunakan kata-kata yang kasar
Pilih Kasih – Memberi layanan yang lebih kepada pihak yang disayangi; Berat sebelah
Puteri Lilin – Perempuan yang tidak tahan terkena panas.
Putih Hati – Jujur; Baik hati


Rabun Ayam – Tidak dapat melihat dengan jelas pada waktu senja.
Raja Sehari – Pengantin
Rambang Mata – Sukar untuk membuat pilihan kerana semuanya kelihatan  baik atau 
                             hampir serupa sahaja.
Ringan Kepala – Mudah memahami sesuatu yang diajarkan
Ringan Mulut – Peramah; Suka bercakap-cakap
Ringan Tangan – Suka menolong orang; cepat membuat kerja
Ringan Tulang – Rajin bekerja


Samar Muka -  Waktu senja; Waktu hampir gelap
Senapang Bambu – Orang yang nampaknya berbahaya tetapi sebenarnya tidak.


Tahi Arak – Orang yang suka dan kuat minum arak.
Tahi Judi – Orang yang suka bermain judi
Tangan Terbuka – Suka menolong yang mendapat kesusahan
Tangkai Jering – Orang yang kedekut
Telinga Kuali – Orang yang tahan hati walaupun dimarahi oleh orang lain
Telinga Lintah – Orang yang tajam pendengarannya
Telinga Nipis – Orang yang cepat marah
Telinga Tempayan – Orang yang tidak mahu mendengar nasihat
Terang Hati – Mudah memahami sesuatu yang diajarkan
Terang Tanah – Waktu hampir siang
Tidur-tidur ayam – Tidur yang tidak lena
Tin Kosong – Orang yang bercakap besar tetapi sebenarnya tidak berilmu pengetahuan.
Tua Keladi – Orang tua yang berperangai seperti orang muda.


PERUMPAMAAN

Perumpamaan Merupakan salah satu jenis peribahasa yang membandingkan sesuatu dengan yang lain. Pada umumnya, perumpamaan menggunakan kata-kata bandingan bagai, ibarat, laksana, seperti dan umpama.

Bagai ayam disambar helang – Orang yang hilang dengan tiba-tiba.
Bagai bulan dipagar bintang – Kecantikan gadis yang tiada bandingannya.
Bagai isi dengan kuku – Persahabatan yang sangat erat.
Bagai kacang lupakan kulit – Orang yang tidak tahu mengenang budi.
Bagai kumbang putus tali – lari segera apabila terlepas daripada kesusahan.
Bagai menatang minyak  yang penuh – Memelihara anak dengan penuh kasih sayang.
Bagai pinang dibelah dua – Pengantin yang sama cantik dan sama padan.



Seperti abu di atas tunggul – Kedudukan yang tidak tetap atau tidak terjamin, boleh 
                                               dihalau pada bila-bila masa sahaja.
Seperti api di dalam sekam – Perbuatan jahat yang tersembunyi.
Seperti aur dengan tebing – Kerjasama yang erat diantara dua pihak
Seperti Belanda minta tanah – Orang yang tamak
Seperti bumi dengan langit – Perbezaaan yang sangat besar
Seperti cincin dengan permata – Sepasang pengantin yang sama cantik dan padan.
Seperti embun di hujung tanduk – Kasih sayang yang tidak kekal abadi.
Seperti gergaji dua mata -  Orang yang suka mencari faedah daripada dua pihak yang 
                                           bermusuhan.
Seperi harimau menunjukkan belangnya – Menunjukkan sifat sebenarnya setelah lama 
                                                                     berdiam diri.
Seperti hujan jatuh ke pasir – Nasihat yang tidak dihargai atau sesuatu kerja yang sia-sia 
                                                sahaja.
Seperti kaca jatuh ke batu – Berasa amat sedih.
Seperti katak di bawah tempurung – Orang yang cetek pengetahuannya.
Seperti kera mendapat bunga – Orang yang tidak menghargai pemberian orang lain.
Seperti orang buta kehilangan tongkat – Orang yang dalam kesusahan itu akan bertambah 
                                                                  susah lagi apabila dia kehilangan tempat bergantung.
Seperti pahat dengan pemukul – Orang yang hanya bekerja apabila diperintah.
Seperti pungguk rindukan bulan – Mengharapkan sesuatu benda yang tidak akan diperolehi.
Seperti rumput di tepi jalan – Keadaan hidup yang susah.
Seperti rusa masuk kampung – Orang yang tercengang-cengang apabila masuk ke sesuatu kawasan 
                                                  yang baru.
Seperti ular kena palu – Sesuatu yang bengkang-bengkok




BIDALAN

Bidalan merupakan sejenis peribahasa yang mengandungi nasihat dan pengajaran yang benar. Biasanya bidalan merupakan ungkapan yang pendek.

Ada gula ada semut – Orang akan berkumpul di tempat yang mencari rezeki
Ada udang di sebalik batu – Mempunyai niat tertentu di sebalik perbuatan yang dilakukan.
Air ditetak tidak akan putus – Pergaduhan di antara adik-beradik itu tidak akan berpanjangan, akhirnya 
                                                 mereka akan berbaik semula.
Air yang tenang jangan disangka tiada buaya – Jangan disangka orang yang pendiam itu tiada 
                                                                            bahayanya.
Alah bisa tegal biasa – Pekerjaan yang susah jika selalu dilakukan akan menjadi senang.
Alah membeli menang memakai – Barang yang mahal dibeli itu amat baik mutunya.
Alang-alang mandi biarlah basah – Mengerjakan sesuatu kerja sehingga selesai.


Belakang parang diasah lagikan tajam – Orang yang bodoh jika diajar akan menjadi pandai juga 
                                                                 akhirnya.
Belum duduk sudah berlunjur – Melakukan sesuatu kerja sebelum sampai masanya.
Benih yang baik jikalau jatuh ke laut menjadi pulau – Orang yang berketurunan baik akan berkelakuan 
                                                                                       baik di mana-mana sahaja dia berada.
Bumi mana tidak ditimpa hujan – Setiap orang tentu pernah melakukan kesalahan.




Genggam bara api biar sampai jadi arang – Membuat sesuatu kerja yang susah hendaklah bersabar hingga berjaya.


Indah khabar dari rupa – Khabar tentang sesuatu perkara biasanya dilebih-lebihkan.


Jauhari juga yang mengenal manikam – Orang yang pakar dalam sesuatu bidang itu sahajalah yang lebih mengetahui faedah sesuatu benda itu.


Makin murah makin menawar – Makin murah hati seseorang itu, makin banyak pula yang diminta oleh 
                                                     pihak yang satu lagi.
Malas mendayung perahu hanyut – Kalau segan berusaha, seseorang itu tidak akan mendapat 
                                                          kesenangan.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya – Mendidik anak hendaklah sejak kecil lagi.
Melepaskan batuk di tangga – Membuat sesuatu dengan tidak bersungguh-sungguh atau membuat 
                                                 sesuatu kerana terpaksa.
Menanam tebu di bibir mulut – Manis di mulut sahaja tetapi di hatinya tidak.
Mencurahkan garam di laut – Memberikan sesuatu yang tidak dihargai oleh si penerima atau 
                                                melakukan kerja yang sia-sia.


Nasi sudah menjadi bubur – Sesuatu kerosakan yang tidak dapat diperbaiki lagi.



Rosak badan kerana mulut – Mendapat kesusahan kerana terlanjur kata


Sambil menyelam minum air – Membuat dua kerja dalam satu masa.
Sarang tebuan jangan dijolok – Bahaya jangan dicari.
Sediakan payung sebelum hujan – Hendaklah beringat-ingat sebelum mendapat kesusahan.
Segan bertanya sesat jalan – Orang yang tidak mahu bertanya apabila berhadapan dengan masalah akan 
                                               mendapat kesusahan akhirnya.
Sudah jatuh ditimpa tangga – Kesusahan atau kecelakaan yang datang berturut-turut.


Tepuk tangan sebelah takkan berbunyi – sesuatu kejadian itu tidak mungkin berlaku daripada satu 
                                                                  pihak sahaja.

Ukur baju di badan sendiri – Melakukan sesuatu hendaklah mengikut kemampuan atau kebolehan diri 
                                               sendiri.






PEPATAH

Pepatah merupakan sejenis peribahasa yang mengandungi unsur-unsur pengajaran. Biasanya terdapat pengulangan kata di dalamnya.


Ada padi semua kerja  jadi, ada beras semua kerja deras – Semua dihajati itu dapat dicapai melalui Wang.


Bagaimana acuan, begitulah kuihnya – Biasanya perangai seorang anak itu mirip kepada perangai ibu bapanya.
Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam – Setiap orang mempunyai kehendak hati masing-masing.
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian – Bersusah-susah dahulu supaya mendapat kesenangan pada kemudian hari.
Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul – Betapa beratnya kita melihat kesusahan yang dialami oleh orang lain, berat lagi penderitaan itu pada orang yang menanggungnya.
Bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar – Berhati-hati apabila menceritakan sesuatu perkara.
Biar putih tulang, jangan putih mata – Lebih baik mati daripada menanggung malu.
Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali – Kalau hendak membuat kebaikan biarlah berpatutan, tetapi jangan sekali-kali berbuat jahat.

Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantun juga – Pergaduhan di antara adik-beradik tidak berpanjangan, akhirnya akan berbaik semula.

Diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat – Pendiam yang pandai itu berguna tetapi pendiam yang bodoh langsung tidak membawa apa-apa faedah.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan – Kalau seseorang itu mempunyai cita-cita, tentu dia akan berusaha  untuk mencapainya.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung – Kita hendaklah mematuhi adat atau peraturan tempat yang kita diami itu.


Enggang sama enggang, pipit sama pipit – Bercampur gaul dengan orang sama kedudukannya.

Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah – Pemerintah dengan pemerintah berperang, rakyat yang susah.

Harapkan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan – Harapkan keuntungan besar yang belum pasti diperoleh, keuntungan kecil yang sedia ada dilepaskan.
Harapkan pagar, pagar makan padi – Orang yang kita harapkan dapat menolong kita itu pula yanh membinasakan
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama – Setiap manusia dikenang kerana jasa bakti yang dilakukan semasa hidup.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih – Jika kita hendak melakukan sesuatu, kita akan menyempurnakannya dengan sedaya upaya dan demikian sebaliknya.


Ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis – Hendaklah berhati-hati sebelum mendapat kesusahan.

Jauh bau bunga, dekat bau tahi – biasanya kita akan terkenang kepada saudara yang jauh dan apabila dekat, pertengkaran pula yang sering berlaku.
Jerat tak lupakan pelanduk, tetapi pelanduk lupakan jerat – Orang yang selalu menipu itu agak terlali denagn amalannya tetapi orang yang kena tipu akan sentiasa berjaga-jaga.

Kalah jadi arang, menang jadi abu – Dalam sesuatu pergaduhan, sama ada pihak itu kalah atau menang, kedua-dua akan sama menanggung rugi.

Kalau baik jadikan teladan, kalau jahat jadikan sempadan – Contohilah sesuatu yang baik dan jauhkanlah diri kita daripada sesuatu yang buruk itu.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya – Jika tidak berusaha, cita-cita tidak akan 
 tercapai.
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa – Kebolehan dan kepandaian itu tidak semestinya terletak pada usia atau saiz seseorang itu.
Kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya – Kita mesti menunaikan setiap janji yang telah kita buat itu.
Kerja bertangguh tank menjadi, kerja beransur tak bertahan – Sesuatu kerja yang ditangguhkan itu tidak akan berhasil langsung, manakala sesuatu kerja yang dilakukan sedikit-sedikit itu akan selesai juga akhirnya.
Ke tengah boleh, ke tepi pun boleh – Dapat menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan.
Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak – Kesalahan orang lain walau kecil sekalipun Nampak, tetapi kesalahan sendiri yang lebih besar tidak disedari.


Lain dulang lain kakinya, lain orang lain hatinya – Tiap-tipa orang mempunyai keinginan yang berbeza.
Lembu punya susu , sapi dapat nama – Orang lain yang berusaha, orang lain yang dipuji.
Lepas dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya – Setelah terlepas daripada sesuatu kesusahan, kemalanganyang lain menimpa pula.
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak – Kita mesti menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan yang kita berada.
Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri – Orang yang tidak mahu mendengar nasihat


Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa – kita harus tahu berterima kasih kepada orang yang membantu kita.
Orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getah – Orang lain yang bersalah, orang lain pula yang kena tuduh.


Rambut sama hitam, hati lain-lain – Setiap orang mempunyai pendapat atau kemahuan yang berbagai-bagai
Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul – Bersama-sama memikul tanggungjawab sama ada kecil atau besar.
Rupa dapat diubah, tabiat dibawa mati – Terlalu sukar untuk mengubah tabiat atau perangai seseorang.

Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain –  Pekerjaan yang susah kalau dilakukan dengan sabar akhirnya berhasil juga.
Sekali air bah, sekali pasir berubah – Setiap kali bertukar orang yang memerintah, bertukar pula cara pemerintahannya.
Sekali jalan kena, dua kali jalan tahu – Setelah tertipu sekali, orang yang kena tipu akan berhati-hati pada waktu lain.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga – Walau bagaimana pandai sekalipun seseorang itu, ada masanya dia membuat kesilapan juga.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna – Sebelum kita melakukan sesuatu perbuatan, kita hendaklah berfikir terlebih dahulu agar kita tidak menyesal kemudian.
Sesal di hujung jalan, balik ke pangkal jalan – Jika kita bersalah, kita harus cepat sedar dan insaf supaya kita tidak jauh terpesong.
Setinggi-tinggi bangau terbang, hinggap di belakang bangau juga – Walaupun jauh merantau, akhirnya seseorang itu akan kembali ke tempat asalnya juga.
Siapa makan cili dia terasa pedas – Seseorang yang melakukan sesuatu yang kurang baik itu akan merasa dirinya tersindir jika hal itu disebut.


Takut kerana salah, berani kerana benar – Orang yang bersalah itu sentiasa berasa takut dan orang tidak bersalah itu pula tidak berperasaan demikian.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya – Tersilap percakapan kerapkali mendatangkan bahaya kepada diri sendiri.


Untung sabut timbul, untung batu tenggelam – Jika bernasib baik selamat, jika bersaib malang rugilah jawabnya.


Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran – Keuntungan yang diharap-harapkan itu tidak dapat, sedangkan yang sedia ada itu hilang pula.


KATA-KATA HIKMAT

Kata-kata hikmat ialah ungkapan yang mengandungi pengertian, pengajaran atau falsafah yang berguna sebagai pedoman hidup. Biasanya, kata-kata hikmat sering digunakan orang sebagai cogan kata atau kiasan dalam pertuturan dan penulisan

Bahasa jiwa bangsa – Bahasa ialah semangat sesuatu bangsa; bahasa ialah ciri pengenalan atau identiti bangsa
Bahasa menunjukkan bangsa – Daripada pertuturan seseorang itu dapat diketahui asal keturunannya
Bertangguh itu pencuri masa – Kerja bertangguh sentiasa merugikan diri sendiri.
Bersatu teguh, berceri roboh – Persefahaman dalam satu kumpulan dapat mendatangkan kejayaan manakala perbalahan pula dapat mendatangkan perpecahan sesama sendiri.
Bersekutu bertambah mutu – Perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat yang berbilang bangsa dapat menjamin keamanan negara dan keharmonian hidup.
Bukit sama didaki, lurah sama dituruni – Bersama-sama membuat pekerjaan yang susah dan senang.
Hidup ini adalah satu perlumbaan – Kehidupan kita ini sentiasa penuh dengan pelbagai cabaran.
Hilang bahasa lenyaplah bangsa – Jika sesuatu bahasa itu pupus, maka pupuslah bangsa itu.
Ilmu itu pelita hati – Ilmu merupakan cahaya yang menerangi kehidupan seseorang.
Kata itu kota – Setiap janji hendaklah ditunaikan

Masa itu emas – Masa itu sangat berharga
Membaca jambatan ilmu – Tabiat membaca dapat membantu kita memperoleh atau menambah ilmu pengetahuan
Minum air terasa duri – Melakukan pekerjaan yang mudah pun terasa sukar
Muafakat itu berkat – Sikap bekerjasama atau seia sekata banyak membawa faedah kepada semua pihak.
Pandu cermat jiwa selamat – Memandu dengan berhati-hati supaya semua pihak selamat.
Rajin bekerja mudah belanja – Jika kita rajin bekerja akan mendapat hasil yang banyak untuk dibelanjakan.





















PANTUN
Pantun merupakan satru kelompok daripada lembah kesusasteraan Malayu lama yang sangat menarik dan unggul. Keunikan pantun terbentuk kerana wujudnya ciri-ciri istimewa yang ada di dalam bahasa Melayu. Pantun adalah satu variasi daripada seni pengucapan yang sangat mengkagumkan. Ianya mencerminkan kepekaan dan kreativiti tinggi yang dimiliki oleh masayarakat tradisional Melayu lama. Pantun mengandungi nilai-nilai moral yang tinggi sebagai asas kehidupan yang wajar dicontohi oelh generasi muda.

1 comment:

  1. Terima kasih.
    Perkongsian yang bagus cuma ada beberapa perkataan yang tertypo

    ReplyDelete