Saturday 22 October 2011

Tajuk 10 : Sedikit sedikit lama-lama jadi bukit

Tajuk 10
 Tulis satu karangan yang bertajuk`` Sedikit-sedikit Lama-lama Jadi Bukit.’’
            Halim berasa amat seronok apabila melihat rakan-rakannya menunggang basikal. Dia ingin benar memiliki sebuah basikal. Namun begitu, dia tidak mempunyai wang. Halim berazam untuk mengumpul wang dengan cara berjimat-cermat.
            Setiap hari, Halim akan menyimpan wang lebihan belanja sekolahnya. Dia juga menyimpan wang yang diberi oleh abang dan kakaknya. Wang tersebut dimasukkannya ke dalam sebuah tabung. Ada kalanya dia menyimpan tiga puluh sen. Ada kalanya lebih. Dari sehari ke sehari,wangnya semakin bertambah.
            Genap sebulan, Halim mengira wang simpanannya. Kini, wangnya berjumlah RM50. Walaupun begitu, wang tersebut masih belum mencukupi untuk membeli sebuah basikal.
            Ibu memberi galakan dan semangat agar Halim terus menyimpan. Kata ibu, ``Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’’. Apabila mendengar nasihat ibu, Halim semakin berazam untuk menyimpan wang. Setiap hari, dia menyimpan wang walaupun jumlahnya sedikit. Wang yang diberi oleh ayah dimasukkannya ke dalam tabung.
            Akhirnya, setelah dua bulan setengah, usaha Halim berhasil. Dia berjaya mengumpul RM 150. Ayah dan ibu mengucapkan tahniah kepada Halim. Halim bangga memiliki sebuah basikal dengan wang yang dikumpulnya sendiri secara sedikit demi sedikit. Halim tersenyum apabila mengingati nasihat ibunya.  “Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit,’’ katanya di dalam hati.

Tajuk 9

Tulis  satu  karangan  peribahasa  yang  bertajuk ‘Genggam bara api, biar sampai jadi arang’.
            Zainuddin  dan  zainal  merupakan  adik-beradik  kembar. Pada  15  Mei ,mereka  telah  meraikan   majlis hari  jadi. Kedua –duanya    telah  dihadiahkan sepasang  kasut roda  oleh  ayah  mereka.
            Mereka  berasa   sungguh  gembira  menerima  hadiah  tersebut  walaupun  mereka  tidak  pandai  bermain   kasut  roda. Mereka   bertekad   untuk  belajar  main  kasut  roda. Setiap  hari, adik-beradik  kembar   ini  berlatih  bersungguh-sungguh.
            Semasa  berlatih, mereka  sering  terjatuh. Zainuddin  bengkak  pada  bahagian   tangan   dan   kaki. Zainal   pula  mengalami  luka  di tangan  dan   kepala kerana  terkena  batu. Kaki  dan  kepalanya  berdarah. Zainuddin  mula  berputus  asa  kerana   sering  terjatuh. Dia mula tidak tahan mengalami kesakitan, akhirnya, Zainuddin   tidak  berlatih.
            Sebaliknya, zainal  tidak  berputus  asa. Baginya, jika hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Lagipun, dia berpegang teguh kepada pepatah,``genggam bara api, biar sampai jadi arang’’.dia tetap meneruskan latihan. Dia juga semakin kerap berlatih. Segala kesakitan tidak dihiraukannya.
            Akhirnya, Zainal berjaya meluncur dengan kasut roda. Ayahnya berasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Zainal. Zainal tidak menyerah kalah di pertengahan jalan. Semangat seperti Zainal perlu dijadikan pedoman sekiranya kita ingin mencapai kejayaan.

Tajuk 8


Tajuk 8
Tulis satu karangan berdasarkan peribasa ‘Berani kerana Benar, Takut kerana Salah’.
Suasana menjadi sunyi sepi apabila guru disilplin masuk ke dalam kelas. Beliau mengarahkan semua murid berdiri. Beberapa orang pengawas kemudiannya memeriksa meja dan beg para pelajar.    
            Azlina terpinga-pinga apabila sebuah dompet dikeluarkan dari beg sekolahnya. Pengawas tersebut kemudiannya menyerahkan dompet tersebut kepada guru disilplin. Azlina dituduh mencuri dompet Rashidah.  Dia kemudiannya dibawa ke pejabat Guru Besar.
Di dalam bilik tersebut, Azlina tidak mengaku mencuri. Dia menyatakan bahawa dia tidak tahu apa-apa tentang dompet  yang berada di dalam beg sekolahnya. Guru besar mengugut akan memanggil polis dan ibu bapa Azlina sekiranya dia masih enggan mengaku salah.  Dia juga tidak menangis.  Azlina memegang prisip, “Berani Kerana Benar, takut kerana salah.”
            Tiba-tiba , pintu pejabat Guru Besar diketuk.  Salmi meminta kebenaran  untuk masuk. Dia kemudiannya mengaku memasukkan dompet  Rashidah yang ditemuinya ke dalam beg Azlina. Salmi berbuat begitu kerana iri hati dengan kepandaian dan kecantikan Azlina.
            Guru Besar dan guru disilplin meminta maaf kerana menuduh Azlina mencuri.  Azlina bersyukur kerana berpegang teguh kepada prinsipnya.  Salmi berasa menyesal kerana cuba menganiayai Azlina. Dia  kemudiannya meminta  maaf.  Namun begitu , dia akan tetap dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan sekolah.

Tajuk 7


Tajuk 7
Tulis satu karangan peribahasa yang bertajuk “Air yang Tenang,Jangan Disangka Tiada Buaya’’
            Sabri, Halim dan Razali merupakan sahabat karib. Di sekolah, mereka bertiga amat dibenci kerana bersikap nakal dan suka menggangu orang lain.
            Di dalam kelas mereka, ada seorang pelajar lelaki bernama Ah Chong. Ah Chong merupakan pelajar yang pendiam dan tidak suka mencampuri hal rang lain.
            Pada suatu hari, semasa pulang dari sekolah. Sabri, Halim dan Razali berpakat untuk mengganggu Ah Chong. Tentu Ah Chong akan ketakutan apabila kita ganggu dia nanti’’, kata Sabri. “Seronoklah nanti dan bolehlah kita mempermainkan dia’’,tambah Razali. Mereka bertiga ketawa kegembiraan sambil menunggu Ah Chong.
            Semasa Ah Chong lalu di hadapan mereka, dia diganggu. Halim mengejek Ah Chong. Sabri mencampakkan beg sekolah Ah Chong ke dalam semak. Ah Chong hanya berdiri sambil menyuruh mereka mempermainkannya. Mereka terus mengganggu lebih-lebih lagi kerana Ah Chong tidak melawan.
            Ah Chong mula tidak sabar apabila Halim mengoyakkan buku sekolahnya. Dia menumbuk Halim. Razali yang cuba membantu telah ditendang oleh Ah Chong. Mereka ketakutan dan terus melarikan diri. Sabri tertawa melihat muka Halim yang membengkak. “Manalah aku tahu yang budak pendiam tu pandai karate’’,kata Halim. Itulah, “air yang tenang,jangan disangka tiada buaya’’. sampuk Razali pula. Selepas kejadian tersebut, mereka bertiga menyesal dan berazam tidak mengganggu orang lain lagi.

Tajuk 6


Tajuk 6
Tulis satu karangan bertajuk peribahasa ‘carik-carik bulu Ayam, Lama-lama bercantum Juga’.
Hari Raya Puasa akan menjelang pada esok hari. Siti masih termenung di biliknya. Fikirannya berserabut antara ingin pulang ke kampung bertemu abangnya ataupun tidak.
Hubumgan mereka sebagai adik-beradik telah terputus. Segala-galanya bermula akibat berebutkan harta pusaka. Kedua-duanya tidak mahu mengalah. Akibatnya, mereka “berkerat rotan,berpatah arang”. Mereka bergaduh dan tidak pernah bertemu sejak dua tahun yang lalu.
            Siti telah membulatkan  tekad untuk berbaik-baik semula dengan abangnya. Pada pagi syawal itu, dia telah terpacak di depan pintu rumah abangnya. Dia memberi salam. Selang beberapa ketika, salamnya dijawab. Apabila pintu dibuka, Siti melihat abangnya berdiri sambil tersenyum .Siti terus mencium tangan abangnya.
            Di dalam rumah, Siti menangis sambil meminta maaf. Dia menyesali segala tindakannya yang lalu. Abangnya  turut  meminta  maaf. Mereka  saling bermaaf-maafan. Mereka berjanji akan membuang segala yang keruh dan mengambil yang jernih. Pada pagi yang mulia, kedua-dua adik-beradik tersebut telah berbaik semula bak kata pepatah,``Carik-carik bulu ayam, lama-lama bertemu juga’’. Pergaduhan antara mereka telah berakhir.
            Adik-beradik perlu saling bertolak ansur. Sekiranya terjadi sebarang pertelingkahan, perlulah diselesaikan segera agar tali persaudaraan akan berpanjangan.

Tajuk 5


Tajuk 5
Tulis satu karangan peribahasa yang bertajuk  ‘Belakang parang kalau diasah lagikan tajam’.
            Zaki  merupakan  pelajar  tahun Dua . Dia lemah  dalam pelajarannya  dan sering mendapat tempat terakhir di dalam kelas. Ibu bapanya tidak suka akan zaki. Dia dianggap sebagai anak yang bodoh dan tidak boleh diajar.
            Ibu dan  ayah sering  memarahi  zaki. Abangnya yang bernama Nazri berasa kasihan melihat  keadaan zaki. Dia  bertekad   untuk  membantu  adiknya dalam  pelajaran. Nazri  percaya yang  dia boleh membantu  zaki. Baginya ,Belakang  parang  kalau diasah  lagikan  tajam. Dia  percaya  adiknya boleh  menjadi  pandai  jika  diajar secara  berterusan.
            Semenjak hari itu, Nazri  bersungguh-sungguh  mengajar  adiknya. Zaki  pula  berasa  amat  seronok   belajar  dengan  abangnya. Setiap hari ,zaki akan  membuat  kerja-kerja   sekolah  yang  diberikan  kepadanya . Dari  sehari  ke  sehari, Zaki semakin pandai. Ibu  bapanya  turut  gembira  apabila  melihat  perubahan diri  Zaki.
            Dalam peperiksaan  pertengahan  tahun, Zaki  berjaya  mendapat  tempat  ketiga. Guru  kelasnya  berasa  bangga  dengan  pencapaian Zaki. Dia  menasihati  murid-murid  lain agar  mengikut  jejak  langkah  Zaki  yang  tidak  pernah  jemu  berusaha.
            Kita juga  patut  berbangga  dengan  sikap Nazri  dan Zaki. Kita boleh berjaya  jika  percaya  pada  diri  sendiri. Orang  yang lemah  boleh  menjadi  pandai  jika  berusaha  bersungguh –sungguh  dan secara  berterusan .